View complete fotopage
|
|
| Saturday, 29-Dec-2007 15:00 |
Email | Share | Bookmark |
|
The Route To Hajj 1428H
|
|
Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah tercinta, ahli keluarganya dan salam jua buat seluruh mukminin, mukminat, muslimin, muslimat sama ada yang masih hidup atau pun telah meninggal dunia. Setelah agak lama tidak membuat 'entry', terdetik sekejap untuk berkongsi pengalaman sewaktu musim haji 1428H / 2007M yang lepas. Tiga tahun di Saudi Arabia seolah-olah satu kerugian jika peluang untuk menunaikan haji tidak dicari dan diambil sepenuhnya. Alhamdulillah, pada tahun ini, aku telah berkesempatan untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5 ini.
Di samping kesibukan jadual bekerja, kugagahkan jua azam ini dan tawakkal kepada Allah semoga panggilan-Nya itu dapat kupenuhi dan syukur sekali lagi, dalam masa yang agak sempit, hasrat itu terlaksana jua. Pemergian ke Mekah ini merupakan satu kenangan dan pengalaman yang amat bermakna lantaran ahli-ahli rombongan yang agak istimewa, bapak-bapak dan ibu-ibu pekerja dari Indonesia, jua perjalanannya yang jauh lebih panjang daripada penerbangan jemaah haji dari Malaysia - pengembaraan membelah gurun dari timur ke barat wilayah Saudi dengan 24jam perjalanan.
Kesejukan, kesibukan lebuhraya, 'check-points', ragam manusia, 'Highway R&R Saudi version' dan sebagainya mengenakkan lagi suasana perjalanan ke miqat Qarnul Manazil.
Niat ihram di miqat
Perjalanan menuju Baitullah dengan niat ihram dengan haji tamattu' disamping lontaran talbiah dan zikrullah menyebabkan hati menjadi sebak dan merasakan kekerdilan diri dibandingkan dengan kekuasaan Allah SWT. Kami singgah makan tengah hari di kawasan berdekatan Jabal Nur, solat Asar dan ke hotel penginapan di Aziziah (berdekatan Jam'iyyah Ummul Qura) untuk menurunkan bagasi. Setelah itu, kami meneruskan perjalanan ke Masjidilharam untuk melengkapkan umrah.
Setelah bertahallul, keesokan harinya, ada rombongan ke Mina untuk mabit di sana sebelum ke Arafah, namun diri ini ke Masjidilharam untuk melawat Paksu Li dan Maksu Nah yang telah datang dari Malaysia untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Setelah itu, aku ke rumah Pak Chu Daud dan Khola Nah. Aku kembali ke hotel dengan dihantar oleh Pak Cik Man dan Kholid - kesesakan lautan manusia untuk ke Arafah sudah pun bermula.
Bersama Paksu dan ahli rombongan dari Malaysia
9 Zulhijjah, perjalanan ke Arafah dengan menaiki bas usang dengan jemaah lelaki di atas bumbung merupakan satu pengalaman baru, tambahan pula untuk duduk dan memanjat tangga di belakang bas dengan berkain ihram - silap hari bulan boleh ternampak apa yang tidak sepatutnya ternampak.
Kat atas bumbung bas.......
Kami terpisah dari rombongan utama dan menyebabkan kami tersasar dari laluan yang sepatutnya dan menyebabkan pencarian jalan ke khemah di Arafah menjadi satu lagi cabaran di celah-celah lautan manusia. Namun, akhirnya kami berjaya jua ke khemah yang ditempah dan memenuhi masa di Arafah sebelum matahari terbenam dengan mengingati Allah Rabbul Jalil.....
Di Bawah Tenda di Arafah
Setelah matahari hampir terbenam, kami semua bersiap-siap untuk ke Muzdalifah. Namun kesesakan lalulintas memaksa bas menunggu berjam-jam. Aku dan 3 rakan yang lain mengambil keputusan untuk berjalan sendiri dan berpisah dari rombongan utama. Dari sinilah, pengembaraan dan kelazatan mengerjakan haji bermula..... Kami ke Masjid Namirah yang digunakan sekali setahun dan terus berjalan ke Muzdalifah bersama lautan manusia dari pelbagai pelusuk dunia. Kelihatan gerombongan lautan putih manusia berjalan di pelusuk jalan menuju ke Muzdalifah yang kira-kira 6km dari Arafah. Bayangkanlah nanti kita di Padang Mahsyar mencari-cari orang yang dapat menolong....... masing-masing dengan halatuju masing-masing. Tentulah lagi menyusahkan dari lautan manusia dengan satu halatuju.
Menunggu bas bergerak meninggalkan Arafah...
Sesampai di Muzdalifah kami solat Maghrib dan Isyak secara Jamak-Qasar dan bermalam di tepian pagar dengan berlantaikan tanah pasir, berbumbungkan langit dan berbungkuskan pakaian ihram sahaja. Sejuk, hanyir, busuk, debu dan sebagainya tak perlulah dihuraikan. Tambah menggugat kesabaran jika ada 'output' daripada 'input' yang sangatlah berhajat untuk ditunaikan..... dengan tandas yang perlu meredah lautan manusia dan panjang barisan 'haji' menunggu giliran yang bisa menggamit rasa. Namun, syukur, Allah SWT memudahkan semua urusan.
Selepas Subuh, bermulalah perjalanan berjalan kaki ke Mina untuk ke Jamrah Aqabah. Sesungguhnya, amat patut untuk diri yang masih muda, sihat dan gagah untuk tidak menunda panggilan Haji ke masa umur yang mendatang dengan cabaran yang terpaksa dilalui oleh jamaah..... Talbiah, selawat dan zikir mengiringi perjalanan ke Jamrah. Hari ini adalah hari Eidul Adha...... Selesai melontar, kami menaiki van untuk ke Mekah untuk Tawaf Haji dan Sa'ei. Sebelum itu, aku menggondolkan sepenuhnya kepala buat pertama kali dalam hidup selepas dicukurkan semasa masih bayi dan sempurnalah tahallul awwal. Kerana mengerjakan haji Tamattu' maka aku membayar dam untuk berkorban.
Hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah), aku berkhemah bersama-sama 4 rakan yang lain di tepian jalan, di balik terowong di atas bukit berhampiran kawasan 'Tenda Mina'. Di tiga hari ini, selepas Zohor, kami berjalan kaki ke Jamrah untuk melontar di ketiga-tiga Jamrah dan berjalan dari Mina ke Masjidilharam di Mekah untuk solat/tawaf sunat di sana.
Khemah kat belakang...... tapi dah bungkus....
Jamrah Bertingkat Yang Baru Siap
Selepas melontar pada hari terakhir, kami mengerjakan tawaf Wida (perpisahan), dan bergerak ke Madinah untuk ziarah.
Di Bukit Marwah selepas tawaf wida... bersama teman Si Anton
Kami ke Masjid Nabawi dan menziarahi Makam Nabi. Setelah itu, ke Medan Uhud dan ke Masjid Quba dan terus bertolak pulang ke Dammam. Panjang lebar tentang suka duka akan dikongsi pada masa mendatang jika berkesempatan. Terlalu banyak peristiwa dan pengalaman dari pemergianku ke Mekah kali ini......semoga kita semua beroleh berkat dan rahmat Ilahi sepanjang perjalanan hidup sebelum dan sesudah mati.
Masjid Nabawi
Di balik suatu sudut.....tambah effect sikit
Kawasan Antara Masjid Nabawi dan Kuburan Baqi'
Jabal Uhud
Orang jual tamar kat pasar Uhud
Tasbih pun ada....
Macam-macam ada....tasbih kayu zaitun ni bukan kayu koka...
Tazkirah di Kuburan
Ambik gambar sendirik plak....
Wassalam dan ilalliqaq...........................................................
coretan dari alfakir ilallah di bumi Hijjaz....
|
|
|
|
|
View complete fotopage
|